Tepung pelita

Sejak Ramadhan baru ini umi tak serik-serik mencuba buat tepung pelita ini.  Kadang menjadi, kadang-kadang resepi bertukar jadi kuih lompat tikam pula sebab adunan tepungnya agak keras.  Dugaan sungguh nak buat tepung pelita ini, tapi umi tak putus asa mencuba sebab ramai peminat tepung pelita kat rumah ini.  Walaupun sudah selalu buat bersama nenek di kampung, tapi bila buat sendiri kat rumah ini asyik gagal aje.

Kali ini umi dah dapat sukatan yang betul dan dapat hasilkan tepung pelita yang lembut, sedap dan menepati citarasa.

Bahan-bahan:

Lapisan bawah
1 c tepung beras
5 c air
1 sb air kapur
pes pandan
gula halus secukupnya

Lapisan atas
1 c santan
2 c air
2 sb tepung beras

Cara membuatnya:
1.  Panaskan kukusan.
2.  Sebatikan tepung beras, air, pes pandan dan air kapur.
3.  Kacau dalam kuali di atas api perlahan sehingga adunan menjadi likat dan berkilat.  Bila adunan mula meletup-letup macam kawah gunung berapi, teruskan kacau selama 3 minit lagi bagi memastikan adunan benar-benar likat.  Tutup api
4.  Masukkan gula halus ke dalam acuan daun pisang yang telah dibentukkan seperti perahu atau bekas yang sesuai.  Umi guna bekas dadih yang kecil ini sebab tak ada stok daun pisang.
5.  Curahkan adunan pandan tadi ke dalam setiap acuan tadi.
6.  Sediakan lapisan atas pula.  Sebatikan semua bahan dan kacau di dalam kuali di atas api yang perlahan hingga adunan masak dan pekat.
7.  Tuang ke atas lapisan pandan tadi.  Masukkan ke pengukus dan kukus selama 10 minit.


 sikit sangat lapis santan kat atas tu.

 Yang ini pula terlebih santan, kukus api kuat sangat agaknya lapis santan jadi berlubang-lubang.  Tak mengapa, boleh eksperimen lagi lain kali!

Comments