Bun Sambal Bilis

Jarang kami beli bun di kedai, kecuali kalau teringin sangat nak cuba bun perisa baru. Biasanya saya buat sendiri bun ni, alhamdulillah lembut dan gebu seperti beli di kedai. Rahsianya...saya tambahkan water roux di dalam adunan doh roti.

Hujung minggu begini banyak masa lapang boleh ajak anak-anak uli roti, tentu seronok!

Resepi masih guna resepi basic doh, cuma tambahkan water roux. Oh ya ...satu lagi rahsia roti kekal lembut, saya gantikan susu dengan whipping cream. Memang sedap, gebu, lembut, cubalah!
Untuk rujukan, boleh lihat sini.
Bahan doh:

260 ml air - saya ganti dengan whipping cream
500g tepung roti
1 telur
6 sb gula kastor
3 sb marjerin/mentega
2 sb susu tepung (guna susu tepung Faisal!) - tak perlu susu tepung
11g yis kering
1/2 st garam

Cara membuatnya (uli tangan):
1. Gaulkan semua bahan kering
2. Masukkan bahan cecair (air, telur) sedikit demi sedikit sambil diuli rata
3. Masukkan marjerin/mentega.
4. Uli sehingga adunan tidak melekat di tangan( anggaran 25-30 minit)
5. Perapkan doh ditempat yang agak suam sehingga doh menjadi 2x ganda saiznya (45-60 minit)
6. Bila doh sudah mengembang 2x ganda, tumbuk-tumbukkan doh untuk mengeluarkan angin.
7. Bahagikan doh kepada 12 bahagian dan bulatkan setiapnya.
8. Rehatkan doh yang telah dibulatkan tadi dalam 10 minit.
9. Ambil seketul doh tadi, leperkan dan masukkan inti/sambal ikan bilis secukupnya. Ulang untuk semua doh sehingga habis.
10. Tutupkan doh dengan baik dan pastikan tiada ruang yang terbuka untuk mengelakkan inti meleleh keluar.
11. Biarkan doh yang telah siap dimasukkan inti tadi di tempat suam, biarkan ia mengembang untuk kali kedua (30 minit).
12. Bakar doh tadi dalam oven dengan suhu 150 Celsius selama 20-25 minit(oven dipanaskan 15 minit terlebih dahulu).
13. Sebaik sahaja bun telah siap dibakar, sapukan dengan sedikit mentega supaya ia kekal lembap dan nampak berkilat.

Comments