Rendang Ayam Opah

Saya terjumpa resepi ini di  Internet. Banyak sumber sehingga saya tak pasti dari mana asal sebenar resepi ini. Oleh itu saya tak dapat sertakan link kerana resepi yang sama (sebiji sebutir ayatnya) dijumpai di laman blog yang lain tanpa dicatit sumber asal.

Semoga tuan punya penulis resepi ini mendapat ganjaran pahala sedekah jariah berterusan kerana menyumbangkan resepi yang sangat brrmanfaat ini.

Ok, saya suka resepi ini. Ia hampir sama dengan resepi gulai darat yang biasa mak saya masak di rumah, cuma bezanya resepi rendang ini ada serai dan buah keras.  Kebanyakan bahan boleh saya petik di sekitar rumah sahaja seperti serai, lengkuas, halia, kunyit, daun kunyit. Sudah tentulah buah keras dan cili kering saya kena beli di kedai!

Jom tengok bahan-bahan yang diperlukan.  Saya masak rendang untuk 3 ekor ayam. Resepi di bawah ini untuk 1 ekor ayam, jadi pandai-pandailah kita menganggarkan banyak mana bahan yang perlu digandakan mengikut bilangan ayam yang dimasak.

Bahan kisar:
21 tangkai cili kering -ikut kepedasan
2 bawang besar
3 inci halia
3 inci lengkuas
4 inci kunyit - saya kurangkan kepada 2 sahaja
2 buah keras
4 batang serai
1 sudu besar ketumbar - saya guna serbuk ketumbar

1 ekor ayam -dipotong 16 bahagian
2 c santan
2 sudu besar kerisik
2 helai daun kunyit disiat halus
Minyak untuk menumis
Gula dan garam secukup rasa

Cara membuatnya:
1. Kisar semua bahan kisar. Tumis sehingga naik minyak.
2. Masukkan santan dan ayam. Kexilkan api. Kacau sesekala supaya tak hangit. Masak sehingga hampir kering.
3. Masukkan kerisik, gula dan garam.
4. Tambah daun kunyit. Kacau rata.
5. Siap!

Hidangan rendang ayam ini sesuai dihidangkan bersama nasi atau untuk hidangan hari raya dimakan bersama ketupat atau lemang.

Comments