Popiah sayur

Sudah lama saya teringin nak makan popiah sayur buatan sendiri. Sudah 2 kali beli sengkuang untuk dibuat inti popiah. Sejak Ramadhan lepas. Hajat tak kesampaian kerana asyik tertangguh dan tertunda sehingga ke hari ini. Alhamdulillah akhirnya sampai juga seru nak buat popiah sayur.

Resepi saya ringkas sahaja. Resepi main campak-campak guna bahan sedia ada di dapur. Berani nak cuba resepi saya? Jom...!

Bahan:
Kulit popiah (ready-made)
Bancuhan tepung dan air sebagai perekat

Bahan inti:
1 batang Lobak diparut memanjang 1 inci
1/2 Sengkuang diparut memanjang 1 inci
1 ulas Bawang besar dipotong dadu
2 ulas Bawang putih diracik halus
1 sudu besar Udang kering direndam dan ditumbuk
Minyak untuk menumis

Tumis bawang biar wangi. Masukkan udang kering tadi. Gaul rata. Masukkan lobak biar agak layu baru masukkan sengkuang.  Tambah garam secukup rasa. Tutup api. Biarkan inti sejuk seketika.

Cara membuatnya:
1. Ambil dan bentangkan sekeping kulit popiah.
2. Letak 1 sudu besar inti tadi ke atas kulit popiah tadi.
3. Gulung sedikit kulit popiah supaya membalut inti. Kemudian lipat kedua belah tepi kulit tadi. Gulung sehingga ke hujung dan lekatkan dengan perekat tepung tadi.
4. Ulang untuk kepingan popiah seterusnya sehingga selesai.
5. Gorengkan popiah yang sudah siap digulung dengan minyak panas menggunakan api perlahan.
6. Boleh dimakan begitu sahaja atau cicah dengan sos cili.

Comments